Daily Archives: September 29, 2008

Peralihan Kuasa: Signal Awal Dari Bahagian Bermula – Malaysiakini

Difahamkan UMNO Bahagian Cheras di Wilayah Persekutuan Ahad malam mengambil langkah pertama kearah peralihan kepimpinan yang ditetapkan pada bulan Mac tahun depan dengan mengistiharkan akan calonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dalam mesyuarat UMNO Bahagian itu pada 12 Oktober ini.

UMNO Bahagian Titiwangsa sejurus itu mengikut jejak UMNO Bahagian Cheras dengan mengumumkan keputusan yang sama.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Sulaimen Mohamad mengumumkan demikian dalam ucapan mereka di Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Golongan Orang Kurang Upaya di dewan UMNO Bahagian Cheras di Jalan Peel Kuala Lumpur.

Ia disusuli pula dengan UMNO Bahagian Besut yang mendapat liputan Bharian.

UMNO Bahagian Besut akan mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada mesyuarat perwakilannya pada 11 Oktober ini.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata cadangan itu dibuat oleh sebahagian besar perwakilan yang akan menghadiri mesyuarat bahagian.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO, katanya, pergerakan bahagian itu akan mencalonkan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun pada mesyuarat perwakilan Pemuda pada 10 Oktober.

Sementara itu, semua jawatan utama dalam UMNO Bahagian Besut iaitu ketua, timbalan dan naib tiada pertandingan selepas pengesahan calon ditutup kelmarin.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih menang tanpa bertanding, manakala jawatan timbalan bakal diisi Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad selepas penyandang jawatan yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Md Zin menarik diri.

Apakah akan terjadi dengan pencalonan Tengku Razaleigh. Adakah akan terbahagi kepada 3 pencalonan bagi jawatan Presiden. Ku Li masih belum menamakan regu beliau bagi pertandingan ini manakala Datuk Seri Najib pula masih belum menyuarakan apa2 pendapat mengenai pencalonan beliau sebagai presiden walaupun pada awalnya beliau telah meminta agar cawangan2 agar tidak mencalonkan beliau sebagai presiden.

Pak Lah masih berteka teki. Tanding atau tidak…seawal minggu hadapan baru diumumkan.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Hari Raya Tun Dr Mahathir

Saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam, khususnya kepada pelayar laman blog chedet.com.

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.

Disamping bergembira bersama keluarga, saya harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.

Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat.

Saya akan mengadakan majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti berikut;

Tarikh : Oktober 5, 2008

Tempat : 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor

Masa : 10:00 pg – 1.00 tgh dan 2.30 ptg – 5.00 ptg

Kepada yang akan menyambut Aidilfitri di kampung, berhati-hatilah ketika memandu dan kami mendoakan perjalanan pulang yang selamat.

Sekali lagi saya dan isteri saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Dr Mahathir bin Mohamad

Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali

1 Syawal 1429 Hijrah

nota: Jika yang berkesempatan, boleh beramai2 hadir ke majlis rumah terbuka Tun Mahathir.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS Bagi AMARAN Lagi – Malaysiakini

Selepas tarikh 16 September berlalu tanpa kejutan, PAS pula mengulangi pendiriannya tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat jika kerajaan baru persekutuan yang dicita-citakan, majoritinya dikuasai oleh wakil rakyat bukan Islam kelak.

Pendirian itu dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Isu-isu Semasa di Dungun, Terengganu minggu lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang lebih mengharapkan wakil rakyat Umno menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dipetik Harakah menerusi edisi terbaru bertarikh 29 September (hari ini), Abdul Hadi berkata, apabila jumlah wakil rakyat bukan Islam melebihi kerusi anggota Dewan Rakyat beragama Islam, maka PAS akan membuat keputusan – sedia menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, PAS telah meletakkan syarat agar kerajaan Pakatan Rakyat itu dikuasai oleh wakil-wakil Islam Melayu.

Jika Islam tidak majoriti, bekas Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, pembentukan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan disertai oleh PAS.

“PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak mendapat majoriti Islam. Itu syarat pertama,” kata beliau.

Susulan pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 140 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang pula 82 anggota.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS masing-masing mempunyai 31, 28 dan 22 anggota Dewan Rakyat.

Salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) telah keluar dan kini bertindak sebagai Bebas di Parlimen. Seorang lagi anggota Dewan Rakyat juga merupakan wakil Bebas.

Idea pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat telah diutarakan oleh pembangkang pada 1 April lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan 16 September yang lalu bagi mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun tiada perkembangan menjelang 16 September, sebaliknya Pakatan Rakyat menerusi Anwar telah meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan dengan pembangkang bagi membincangkan peralihan kerajaan pusat secara aman.

Surat pertemuan itu ditandatangani Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemudian Anwar meminta Abdullah memanggil sidang khas Parlimen pada 23 September.

Kedua-dua permintaan itu ditolak Abdullah dan tarikh baru Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ialah 1 Oktober.

Syarat kedua yang ditentukan Abdul Hadi ialah kerajaan yang bakal dibentuk itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh, bermakna terdiri daripada wakil rakyat yang konsisten (istiqamah).

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada (BN).

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruh tetap mesti lebih baik,” kata Abdul Hadi.

Pada minggu lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi di Kota Bharu bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai sasaran tersebut.

Difahamkan, dalam pertemuan itu Anwar sekali lagi memberi jaminan tidak akan meminggirkan PAS apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan. – Mstar

nota: Pening la DSAI….dah janji macam2 ni..satu pun tak tunai…!!! hehehe masak masak!!! Tapi awas…ramai musang berbulu ayam(penyokong kuat Anwar) di dalam PAS….gerakan meliberalisasikan PAS sedang bermula.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Selamat Hari Raya Aidilfitri – Malaysiakini

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang, Ampang Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung laman ini. Sekiranya terdapat nukilan yang menyebabkan hati tersentuh, sepuluh jari disusun mohon maaf. Semoga Ramadhan yang akan berlalu memberi kita keinsafan dan rahmat.InsyaAllah. Bagi para pengunjung yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalanraya.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

MT Umno berhak tangguhkan AGM – Malaysiakini

Penangguhan mesyuarat dan Perhimpunan Agung Umno ke Mac depan tidak melanggar manamana peraturan perlembagaan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno berhak menetapkan tarikh Perhimpunan Agung.

“Kalau ikut perlembagaan Umno, kuasa tertinggi adalah Majlis Tertinggi selain Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat-mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung dan yang terkini, Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menangguhkannya maka saya tidak nampak bagaimana ia melanggar perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Golongan Orang Kurang Upaya di sini malam ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu melihat penangguhan berkenaan dalam konteks yang lebih besar iaitu untuk menyelesaikan masalah peralihan kepimpinan dan atas dasar persefahaman kepimpinan, MT memutuskan tarikh berkenaan dan dianggap sesuai dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Diminta mengulas mengenai hasrat bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden, beliau berkata, hasrat Tengku Razaleigh sudah lama disuarakan dan bukan sesuatu yang baru.

“Itu hak dia, kita menghormati hasrat dia hendak bertanding bagi jawatan Presiden, terserah kepada ahliahli perwakilan di bahagian sama ada untuk mencalonkan beliau atau tidak,” kata Muhyiddin.

Kelmarin, mesyuarat khas MT menangguhkan pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno ke Mac depan untuk membolehkan peralihan kuasa dipercepatkan daripada yang dijadualkan pada 2010.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin menyampaikan sumbangan RM5,000 oleh Yayasan Pendidikan Cheras kepada Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya. Sumbangan RM5,000 juga turut diberikan kepada Badan Kebajikan Anak Yatim, Fakir Miskin Dan Balu. – Mstar

nota: memanglah berhak, tetapi keputusan yang dibuat ini disokong oleh seluruh ahli UMNO ker? Keputusan yang di ambil berdasarkan pendapat akar umbi ker?

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bunga Melati 5 dibebas, Bunga Melati 2 belum lagi – Malaysiakini

Kapal tangki Malaysia, MT Bunga Melati 5, sebuah daripada dua buah kapal milik MISC yang ditawan lanun di Teluk Aden di perairan Somalia, telah dibebaskan.

Kesemua anak kapal MT Bunga Melati 5 berada dalam keadaan sihat dan kapal itu kini belayar menuju Djibouti (Timur Afrika).

“Di atas kapal ada satu pasukan perubatan dari Kementerian Pertahanan terdiri daripada doktor, pembantu perubatan dan kaunselor,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmmad Badawi selepas rakaman perutusan Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di sini. Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan berkata, rundingan untuk pembebasan sebuah lagi kapal, MT Bunga Melati 2 masih lagi diteruskan.

Beliau berkata, terdapat tanda positif berkaitan rundingan itu dan beliau berharap rundingan itu akan mencapai penyelesaian segera supaya kapal berkenaan dapat meneruskan perjalanan menuju ke destinasi lain.

“Saya juga hendak ingatkan keluarga anak kapal supaya bertenang. Kita akan buat apa sahaja yang diperlukan untuk memastikan keselamatan anak kapal… itu adalah penting,” katanya.

Kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen pada 19 Ogos.

Seorang daripada anak kapal warga Filipina itu terbunuh akibat terkena sebutir peluru yang tersasar.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama semasa dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Malaysia menghantar dua buah kapal perang KD Lekiu dan KD Inderapura, dan sebuah kapal peronda pesisir pantai, KD Pahang untuk melindungi kapalkapal MISC yang melalui perairan itu ekoran kejadian rampasan MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5. BERNAMA

nota: Alhamdulillah, harap anak2 kapal bunga melati 2 selamat da dapat dibebaskan juga.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Akui terima habuan seks, PKR pusat mahu Zul dipecat – Malaysiakini

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Lee Boon Chye menggesa kerajaan negeri Perak memecat ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks, tetapi disifatkan sebagai “sedekah.”

Dr. Lee berkata, dari segi moral tindakan berkenaan tidak betul bagi seseorang yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan terlibat dalam skandal seks.

“Apabila sesuatu yang tidak senonoh ditawarkan anda seharusnya menolak tawaran itu,” kata beliau selepas merasmikan kempen menderma darah di sini hari ini.

Kata beliau, Majlis Kerajaan Negeri juga wajar menggugurkan Zul daripada keanggotaan dalam Majlis Daerah Perak Tengah dengan segera sebaik apabila ia mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada PKR sendiri akan mengambil tindakan terhadap Zul yang juga ahli parti tersebut.

Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran Abdullah yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa “seks seperti menerima sedekah” dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim menyifatkan kenyataan Zul bahawa habuan seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu “kesilapan bahasa yang tidak disengajakan.”

“Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah,’ katanya.

Seorang lagi anggota parti itu di Perak, Fairul Azrim Ismail, juga mengakui melakukan perbuatan itu tetapi turut mendakwa diperangkap oleh BPR.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarul Zaman Shaharudin menyebut, kesilapan menggunakan sesuatu perkataan mungkin akan berlaku kepada istilah dalam bidang tertentu, bukan kepada perkataan yang sering digunakan.

Beliau berkata, perkataan “seks” adalah contoh bahasa yang mudah dan bukan merupakan bahasa teknikal seperti yang terdapat dalam bidang teknologi maklumat atau bidang-bidang lain.

Ketika ditanya sama ada kenyataan itu tidak disengajakan, Kamarul Zaman berkata: “Pada saya itu bukan kesilapan bahasa sebab itu bahasa yang mudah.”

“Mesti dia tahu apa yang dia sebutkan. Kecuali kalau itu perkataan teknikal, mungkinlah… boleh salah,” katanya.

Katanya, perkataan sedekah itu diketahui umum sebagai suatu perkara yang baik dan berharap pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan perkataan itu.

“Pihak berkenaan mungkin mencari sebab untuk mempertahankan diri (dengan kenyataan itu),” kata Kamarul Zaman.

– Amat memalukan apatah lagi bila seseorang itu beragama ISLAM dan Melayu. Tindakan menerima habuan seks ini adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan rendah akhlaknya, Bukankah ISLAM melarang seks dan juga rasuah??

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

‘Saya tidak akan tinggalkan BN’ – Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Raymond Tan Shu Kiah memberi jaminan tidak akan meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) biarpun Parti Maju Sabah (Sapp) yang pernah disertainya telah keluar dari BN baru-baru ini.

“Walaupun parti yang saya anggotai sejak sekian lama tidak lagi berada dalam BN, saya tetap meneruskan tugas saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri BN.

“Saya menang dalam pilihan raya umum lepas atas tiket BN dan untuk itu saya tidak akan lari meninggalkan parti itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, balu dan anak yatim di sini malam tadi.

Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata:

“Saya kini umpama tiada rumah (merujuk kepada Sapp yang menyisihkannya) tetapi untuk kepentingan rakyat dan penyokong, saya tidak lama lagi akan mencari rumah (parti).”

Pada 17 September, Sapp mengumumkan keputusan keluar dari BN setelah lebih 13 tahun dalam gabungan itu dengan alasan BN telah hilang “Semangat BNnya”.

Pada 18 Jun, Sapp mencadangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Tan yang juga Timbalan Presiden Sapp bersama Naib Presiden, Jimmy Wong dan Ketua Pemuda Au Kam Wah adalah ahli majlis tertinggi Sapp yang tidak bersetuju dengan keputusan itu. BERNAMA

– Tenyata keputusan yang dibuat oleh Presiden SAPP adalah satu keputusan peribadi tanpa mengambil kira kepentingan parti dan rakyat Sabah khususnya. Tindakan Datuk Raymond utk terus kekal sebagai ADUN BN merupakan satu tindakan yang amat wajar. Syabas Datuk!!! Ini merupakan tamparan yang hebat buat Presiden SAPP selepas pengasas SAPP juga telah mengambil keputusan untuk keluar dari SAPP pada minggu lepas.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda