Daily Archives: September 22, 2008

Umno Pulau Pinang Sokong Peralihan 2010

Semua 13 bahagian Umno di Pulau Pinang termasuk ketiga-tiga sayap parti itu iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri menyokong penuh pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 2010.

nota: bagaimana dengan Bahagian lain??

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bahaya jika semua parti kaum Cina sokong pembangkang

Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini mengingatkan masyarakat Cina tentang bahaya jika semua parti berasaskan kaum Cina berpihak kepada pembangkang dan hanya parti berasaskan orang Melayu menjadi parti memerintah.

Senario itu, jelas beliau, sudah pasti akan mewujudkan ketegangan dan mencetuskan suasana tidak baik kepada perniagaan dan ekonomi.

Menurut beliau, dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang kaum seperti Malaysia, pentadbiran kerajaan perlu melibatkan pelbagai kaum bagi mengekalkan keamanan.

Sehubungan itu, MCA, tegas beliau, tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pemimpin masyarakat Cina supaya parti terbesar kaum Cina itu berbuat demikian.

“Sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN, kita tidak harus fikir untuk meninggalkan BN semata-mata kerana tidak berpuas hati terhadap sesetengah individu yang ada dalam BN.

“Kita perlu melihat senario politik semasa secara meluas dan memikirkan kesannya terhadap parti jika berbuat demikian,’’ kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MCA Selangor di sini.

Siang Chai menjawab pertanyaan sama ada MCA akan bertindak keluar daripada komponen BN memandangkan ada syor supaya sebuah lagi parti Cina dalam komponen itu, Gerakan, berbuat demikian.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Gerakan pula yang bertanding di 12 kerusi Parlimen cuma menang dua kerusi.

Timbalan Menteri Pelancongan itu memberitahu, beliau tidak menggalakkan ahli-ahli senior dalam MCA bercakap terlalu banyak berkenaan perkara itu kerana merasakan sebarang keputusan untuk keluar BN harus dibuat selepas kepimpinan baru dipilih pada pemilihan MCA Oktober ini.

“Sekiranya ingin membuat sesuatu keputusan, kita perlu tunggu sehingga kepimpinan parti diambil alih oleh pemimpin baru pada 18 Oktober ini dan biarlah mereka yang menentukannya,’’ kata beliau.

MCA akan mengadakan pemilihan pada pertengahan bulan depan bagi memilih seorang presiden, seorang timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat parti itu.

Ditanya mengenai jawatan yang akan ditandinginya, Siang Chai berkata, beliau akan mengumumkannya hujung bulan ini setelah MCA di semua negeri selesai mengadakan konvensyen masing-masing.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Teresa dakwa makanan diberi ‘lebih baik sedikit daripada makanan anjing’ – Malaysiakini

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim hari ini mendakwa makanan yang diberikan kepadanya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah `lebih baik sedikit daripada makanan anjing’.

Beliau menafikan pernah menyamakan makanan yang disediakan kepadanya ketika ditahan pada 12 hingga 19 September lalu ‘seperti makanan anjing’.

Beliau menyalahkan Utusan Malaysia yang didakwanya memutarbelitkan kenyataannya berhubung perkara itu.

Utusan Malaysia sebelum ini hanya memetik kenyataan Teresa mengenai perkara tersebut daripada laman web Malaysiakini. – Utusan.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

5 calon rebut jawatan Ketua Pemuda Malaysia – Malaysiakini

Jawatan Ketua Pemuda setakat ini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Datuk Mukhriz, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin, Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.

nota: Berani Berubah, Setiakawan dan Pemuda Berani adalah tema yang digunakan oleh calon2 seperti YB Mukriz, YB KJ dan YB KT. Bagaimana dengan calon lain, apa mesej anda buat pemuda. Mesej dan idea yang ingin dibawa bukan sahaja perlu meliputi kehendak Pemuda UMNO tetapi juga Pemuda di Barisan Nasional amnya. Kurangnya sifat kesedaran terhadap perjuangan BN sebelum ini telah menyebabkan beberapa golongan Pemuda di dalam komponen seperti tidak memahami sifat toleransi yang telah sekian laman dijalinkan.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ku Li yakin dapat cukup pencalonan – Malaysiakini

Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau yakin akan mendapat pencalonan yang cukup untuk membolehkannya bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata beliau membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan itu setelah mendapat maklumat balas dan sokongan daripada anggota akar umbi.

“Saya tidak boleh memberitahu apa strategi saya sekarang sebab ia akan menjejaskan peluang saya dalam pemilihan parti.

Insya-Allah saya akan dapat pencalonan yang cukup,” katanya pada sesi dialog dengan beberapa pengendali blog di rumahnya di sini malam tadi.

Pada 20 Mac lepas, Tengku Razaleigh melahirkan hasratnya bertanding sekali lagi bagi jawatan Presiden Umno pada persidangan agung parti Disember ini. Pada pemilihan parti pada 1987, beliau mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden Umno tetapi tetapi tewas dengan 43 undi.

Mengulas mengenai keadaan Umno pada ketika ini, Tengku Razaleigh berkata untuk memperkasa dan mengembalikan imej Umno, parti itu perlu menerima dengan terbuka pimpinan dari golongan muda.

“Dengan keterbukaan kepada golongan muda dan orang baru, Umno akan mendapat harapan baru dan mendapat idea yang baru,” katanya. – mstar

nota: persoalan sekarang…beranikah Bahagian2 UMNO utk melakukan perubahan??? Beranikah mereka menentang arus?? Jika dilihat dari mesyuarat perwakilan cawangan, tidak banyak yang berani melawan arus….

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Razali Ibrahim tanding Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia – Malaysiakini

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim Ahad secara rasmi mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor mengambil keputusan itu setelah kerusi itu kosong berikutan pengumuman penyandangnya sekarang Khairy Jamaluddin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Johor di Johor Bharu,Razal,38 memberitahu beliau beliau tidak bergandingan dengan sesiapa dalam perebutan jawatan itu dan sedia berkerjasama dengan siapa saja yang dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia kelak.Seorang lagi yang disebut-sebut nak bertanding jawatan nombor dua dalam pergerakan itu ialah Datuk Rezal Merican. – dari agendadaily

– Siapa lagi calon yang berminat? Apa2pun selamat berjaya kepada mereka yang bertanding.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ringgit tidak ditambat semula – Malaysiakini

Malaysia tidak akan menambat semula ringgit seperti disarankan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak hari ini.

“Kita berkeyakinan tentang kedudukan ringgit dan mata wang tempatan itu yang mencerminkan nilai sebenarnya,” kata Najib, yang baru dilantik minggu lalu di mesyuarat sulungnya di kementerian itu.

Sehingga jam 9.08 pagi, ringgit dicatatkan lebih tinggi di paras 3.4120/4170 berbanding dolar AS di paras penutup 3.4570/4620 yang dicatatkan pada hari Jumaat.

Sabtu lepas, Dr Mahathir mencadangkan pertukaran ringgit ditetapkan semula bagi menampan impak kelemahan dolar
berbanding mata wang lain.

Timbalan perdana menteri, yang sebelum ini merupakan menteri pertahanan, bertukar portfolio dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

nota: Nantikan berita gembira penurunan harga minyak dalam tempoh terdekat!!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Namewee dipanggil Polis

Pencipta dan penyanyi lagu kontroversi, Negarakuku, Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, akan dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman, Selasa ini dipercayai berhubung siasatan penyiaran klip video lagu rap itu di laman web YouTube, Ogos tahun lalu.

Meng Chee, 25, pulang ke tanah air akhir bulan lalu selepas menamatkan pengajian di Universiti Ming Chuan, Taiwan dan baru selesai menyiapkan dokumentari mengenai warga Malaysia yang tinggal di Hong Kong, Macau, China, Laos, Vietnam, Kemboja serta Thailand.

Bapa Meng Chee, Wee An See, 50, ketika dihubungi mengesahkan beliau menerima panggilan telefon daripada Bukit Aman, 11 September lalu, yang meminta anaknya hadir ke ibu pejabat polis itu pada 23 September ini.

“Polis hanya memberitahu supaya anak saya datang ke Bukit Aman pada 23 September ini dan tidak memberitahu mengenai kes apa, tetapi saya tahu ia mesti berkaitan dengan kes lagu dulu,” katanya.-Berita Harian

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

ISA tetap kekal walaupun kerajaan bertukar tangan – malaysiakini

Ketika pelbagai pihak menggesa agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, pemerhati politik yakin undang-undang berusia hampir lima dekad itu akan tetap kekal diguna pakai sama ada oleh kerajaan semasa atau jika negara diperintah pembangkang satu hari nanti.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, biarpun banyak pihak mendesak ISA dimansuhkan, tetapi beliau pasti kerajaan tidak akan menghapuskannya dalam masa terdekat.

“Saya yakin sama ada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini mereka tidak akan memansuhkan ISA,” katanya kepada mStar Online hari ini

Jelasnya, walaupun akta tersebut memberi kebaikan tetapi ia telah digunakan untuk kepentingan politik parti pemerintah.

“Perkara seperti ini tidak wajar berlaku. ISA sepatutnya digunakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa ISA tidak wajar dihapuskan kerana ia merupakan senjata terakhir yang telah banyak menyelematkan negara daripada ancaman musuh.

“ISA telah banyak memberi manfaat kepada negara ini… jadi kerajaan punya sebab untuk mempertahankannya. Cuma apa yang dikesalkan adalah ia telah dipolitikkan pada hari ini,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan berpendapat ISA masih perlu bagi menjamin keamanan dan keselamatan dan kerajaan tidak bercadang menghapuskannya.

Namun pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk melahirkan pendapat berbeza mengenai ISA.

Tegasnya, ISA perlu dihapuskan segera kerana ia memberi kesan kepada keadaan politik semasa.

“ISA perlu dihapuskan segera kerana ia memberi kesan kepada kestabilan politik semasa,” katanya.

Jelasnya, pelbagai pihak menentang penggunaan akta tersebut kerana mereka yang ditahan di bawah akta tersebut berada dalam tahanan tanpa dibicarakan.

“Ramai yang tidak bersetuju kerana akta ini dianggap melanggar hak asasi manusia.

“Sesiapa yang ditangkap perlu dibicarakan dan mahkamah akan menentukan seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya.

Sehubungan jelas Azeem, terdapat akta lain yang boleh digunakan bagi menggantikan ISA.

“Kerajaan boleh menggunakan Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Pertubuhan yang dilihat lebih adil untuk digunakan ke atas mereka yang dilihat mengancam keselamatan negara,” katanya.

Tegasnya, ISA wajar digunakan ke atas perkara yang benar-benar mengancam keselamatan negara seperti gerakan subversif dan keganasan yang membawa impak negatif kepada negara. – mstar

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda