Daily Archives: September 4, 2008

MT perlu bertindak segera

Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa melakukan ‘sesuatu yang drastik’ bagi membendung kejutan-kejutan di luar budaya parti itu yang semakin membimbangkan dan dikhuatiri petanda ‘keranapan’ parti pejuang kemerdekaan negara itu.

Ahli MT, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil mengeluarkan gesaan itu kerana ahli UMNO kini tidak lagi menampilkan sifat budaya keMelayuan apabila banyak peristiwa tidak diingini berlaku semasa dan menjelang pemilihan tertinggi parti.

Antara yang cukup membimbangkan, kata beliau, ialah penggunaan wang yang berleluasa dan keterlaluan untuk melobi pencalonan, rasuah melibatkan tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pergaduhan besar sesama ahli hanya kerana mengejar jawatan.

”Bukan itu sahaja, ada ahli UMNO juga melakukan kejutan vandalisme, kalau ada poster parti lawan…ia dipotong.

”Di Segamat pula, ahli UMNO bergaduh hingga patah kerusi semasa mesyuarat cawangan. Pemilihan parti lebih sengit daripada pilihan raya. Ini berlaku di kebanyakan tempat di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

”Yang jelas ialah pengawasan UMNO di peringkat negeri tidak mampu… Jadi, lekas-lekaslah MT ambil tindakan agar semangat silaturrahim ini segera dipulihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais merujuk kebimbangannya itu terhadap beberapa insiden melibatkan ahli UMNO yang dipercayai ada kaitan dengan usaha mengejar jawatan dan melobi pencalonan pada pemilihan parti.

Terbaru di Kota Bharu hari ini, Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di pekarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Azaha, 48, yang mengalami lecur di muka dan badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Noor Awang, 47, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah, Sikamat Rezwat Shahril Zainal Ariffin supaya mencalonkannya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Semalam juga menyaksikan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61, yang mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah.

Bagaimanapun polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.

Beberapa insiden pertelingkahan termasuk kejadian membaling kerusi dan penggunaan wang juga dilaporkan berlaku semasa mesyuarat cawangan baru-baru ini.

Banyak pihak percaya ia akan menjadi semakin hangat menjelang pemilihan peringkat bahagian bulan depan dan pusat Disember ini.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Dr. Osman pertahan akuan bersumpah periksa Saiful

Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid, doktor perubatan pertama  yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, muncul semula hari ini selepas menghilangkan diri lebih sebulan dengan mempertahankan kandungan akuan bersumpahnya bahawa tiada kesan dia diliwat.

Sambil mempertahankan kandungan laporan bersumpah itu, Dr. Mohamed Osman berkata, beliau mahu menyatakan keadaan sebenar berhubung dengan akuan bersumpah tersebut.

Pada sidang media di Majlis Peguam hari ini, beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan olehnya menunjukkan tiada kesan Saiful dilihwat.

Akuan bersumpah beliau telah dihebahkan secara meluas pada 28 Julai lali dalam laman web Malaysia Today, yang telah disambung perkhidmatannya semalam selepas dikenakan halangan kira-kira seminggu.

Kata Dr. Mohamaed Osman, akuan bersumpah tersebut adalah dibuat oleh beliau sebelum meninggalkan Malaysia.

Dr. Mohamed Osman merupakan rakyat Myanmar telah berkhidmat di beberapa hospital di negara ini lebih satu dekad.

Beliau bagaimanapun menegaskan, penyebaran akuan bersumpah tersebut adalah di luar pengetahuannya.

Dalam akuan bersumpahnya itu, Dr. Mohamed Osman tetap berpegang kepada laporan perubatan berhubung pemeriksaan yang dilakukan ke atas Saiful.

Dr. Mohamed Osman berkata, beliau telah mengambil cuti ekoran tekanan yang dialaminya selepas disoal siasat oleh polis.

Beliau menolak bimbang dengan keselamatannya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pusrawi, Wan Mahmood Wan Yaacob ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata Dr. Mohamed Osman belum kembali bertugas.

“Belum, dia belum kembali bertugas,” katanya.

Ketika ditanya sama ada doktor berkenaan masih berkhidmat di hospital itu beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Maaf, saya tidak boleh komen,” kata beliau sambil menambah, tindakan susulan bergantung sama ada Dr. Mohamed Osman melaporkan diri ataupun sebaliknya.

nota: Dr. osman, sekiranya yakin saiful tak meliwat, kenapa pergi mengadu dengan Raja Petra (malaysia today)? Siapa dia?? atau Dr Osman dah kene ‘gula-gula’. Yelah Dr Osman pun bukan warganegara sini, senang nak buat kes ‘langgar lari’. Macam hari tu, lepas buat pengakuan bersumpah terus lari sembunyi diri. Berani kerana Benar Doktor!!…Apakata doktor buat pengakuan bersumpah dalam masjid Waallahi, Wabillahi dan Watallahi.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peguam harap kes liwat Anwar digugur

Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kes liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan digugurkan apabila ia disebut semula minggu depan.

“Kami masih mengekalkan pendirian kami bahawa memang tiada kes, tiada bukti. Kes ini merupakan pendakwaan bermotifkan politik.

“Oleh itu kami berharap kes ini akan digugurkan,” kata salah seorang peguamnya, Sankara Nair ketika dihubungi.

Kata Sankara, pihaknya telah pun menyatakan pendirian tersebut sebelum ini dan sehingga kini masih mempertahankan agar kes berkenaan digugurkan.

Ketika dihadapkan di mahkamah awal bulan lalu, Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas.

Beliau diwakili sembilan orang peguam.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sankara menambah, tiada peruntukan membolehkan pihaknya memfailkan agar kes berkenaan digugurkan.

Cuma, jelas beliau, pihaknya telah menyatakan wujudnya alibi dan juga kandungan akuan bersumpah doktor yang memeriksan Saiful bagi membolehkan kes berkenaan ditolak.

“Kami tidak boleh membuat permohonan rasmi. Pendakwaan mempunyai kuasa mutlak sama ada hendak mendakwa seseorang ataupun tidak,” kata beliau yang tetap yakin kes berkenaan akan diketepikan.

Malah, Anwar ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang seringkali menyatakan bahawa kes yang dibawa terhadap tidak mempunyai bukti dan ia harus diketepikan.

nota: atas dasar apa ingin kes ini digugurkan? tiada kes dan tiada bukti? siapa anda untuk tentukan?? negara ini ada sistem kehakiman, biarlah mahkamah yang tentukan.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mukhriz bertanding Ketua Pemuda UMNO

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir akan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia dalam pemilihan parti itu Disember depan.

Beliau yang juga ahli exco Pemuda Umno itu akan membuat pengumuman rasmi mengenainya Sabtu ini.

Mukhriz akan berbuat demikian dalam satu majlis di perkarangan Pondok Maharizan di Alor Star.

Menurut pembantunya, ketua-ketua Pemuda Umno bahagian dari seluruh negara dijangka turut menghadiri majlis tersebut.

Majlis tersebut akan disusuli dengan satu sidang akhbar serta majlis sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin di Masjid Tok Kepak.

Selain Mukhriz beberapa pemimpin pergerakan itu, termasuk Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin dijangka turut bertanding jawatan tersebut.

Seorang lagi ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang telah memberitahu media sebelum ini yang beliau akan bertanding jawatan tersebut.

Manakala Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob pula dilaporkan semalam, sebagai berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan itu.

Jawatan ketua Pemuda kosong selepas penyandangnya Datuk Hishammuddin Hussein mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan tersebut Disember ini.

Tiada had umur dikenakan oleh mana-mana pemimpin untuk bertanding jawatan ketua Pemuda pusat. Juga tiada had umur bagi tempoh seseorang itu memegang jawatan tersebut. – mkini

nota: kemungkinan persaingan 4 penjuru untuk jawatan ini. KJ,KT,Adnan dan Mukriz. Tidak silap penulis, salah satu kriteria yang akan dikenakan terhadap calon yang ingin bertanding KP ialah mempunyai laman web sendiri. Tidak tahulah sama ada kriteria ini digunapakai atau tidak. Sehingga hari ini jawatan NKP masih tiada siapa yang bersuara ingin bertanding.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Laporan Kedua BPR Terhadap Salah Guna Kuasa oleh Pak Lah

dari mstar

Bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun membuat laporan kedua hari ini dengan mengemukakan bukti kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyalahguna kuasa untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti.

Mazlan tiba kira-kira pukul 9.30 pagi di BPR Wilayah Persekutuan dan diikuti ahli Umno cawangan dari Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah 10 minit kemudian bagi mengiringi beliau.

Mazlan ketika ditemui wartawan selepas keluar dari pejabat BPR kira-kira satu setengah jam kemudian berkata, beliau hanya boleh mengesahkan telah menyerahkan bukti kepada BPR namun enggan mendedahkan bentuk bukti yang dikemukakan.

“Laporan dibuat hanya terhadap Abdullah. Ketua Eksekutif mesti bertanggungjawab salah guna kuasa dan macam-macam lagi.

“Mereka (BPR) mesti mengambil serius perkara ini. Saya tidak akan menyembunyikannya,” katanya.

Laporan kali kedua ini dipercayai mengulangi apa yang dilaporkan kali pertama 5 Ogos lalu iaitu “ketua-ketua cawangan dari beberapa negeri diundang khas, disediakan hotel dan diberi buah tangan berupa sejadah atau kain pelikat serta duit belanja melalui jentera dan sumber kewangan kerajaan.”

Sementara itu, Kadar Ninam Shah berkata, laporan kedua dibuat kerana pihaknya tidak mendapat maklum balas secara vokal atau surat daripada BPR selepas sebulan laporan pertama dibuat.

“Menurut pegawai yang bertugas, mereka telah membuat laporan dan diarahkan menghantarnya ke pejabat atas… kemungkinan ibu pejabat (BPR).

“Kata mereka dah bagi tetapi saya tidak tahu siasatan sudah dijalankan atau belum,” katanya.

Beliau berkata, laporan pertama dibuat oleh Mazlan adalah berdasarkan surat aduan yang dibuat Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim bertarikh 11 Julai lalu yang dihantar kepada kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Bagi laporan pertama, tidak ada apa yang dilakukan. Yang kedua ini, kita tunjukkan bukti yang beliau (Abdullah) terlibat,” katanya.

Beliau berkata, antara bukti yang dikemukakan adalah 20 hingga 30 keping gambar yang menunjukkan Abdullah bersama-sama dengan ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli Umno yang diundang khas dan dipercayai untuk tujuan berkempen bagi menyatakan peralihan kuasa dan ingin mengekalkan jawatannya.

Beliau berkata, Abdullah telah melakukan perjumpaan tertutup di ibu negara dengan ahli-ahli Umno Pulau Pinang pada 3 Mei, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan pada 9 Jun, Johor (22 Jun), Terengganu (28 Jun), Perlis (29 Jun), Pahang (8 Jun), Selangor (19 Mei), Perak (7 Jun) dan Kedah (10 Mei).

“Kita ada video (menunjukkan Abdullah bersama Ketua Umno). Kesemua perjumpaan itu ditanggung oleh Kementerian Penerangan melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),” katanya.

Kadar berkata, beliau diberitahu, ada ahli Umno yang mendapat wang tunai sehingga RM200, kain batik dan juga sejadah.

“Ini sememangnya bertentangan dengan etika dalam Umno yang tidak membenarkan mana-mana ahlinya berkempen dan melakukan perjumpaan tertutup.

“Kedatangan mereka ke sini, hotel yang diberi…itu sudah jelas daripada apa yang mereka dapat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya turut membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno, Kadar Shah berkata, aduan hanya dibuat kepada BPR.

“Laporan pertama yang dibuat oleh Kapten Zahar, Umno tidak buat siasatan, jadi kita buat kepada BPR.Kalau Umno tidak boleh buatm biar BPR yang buat.

“Kalau selepas ini masih tiada maklum balas, kita akan tengok sama ada kita akan buat laporan sekali lagi, mem

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tan Sri Muhyiddin Ketuai MP BN Melompat?

spekulasi di ruang internet dan laman2 blog menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin bakal mengetuai kumpulan MP BN yang akan melompat menjelang 16 september ini. Sejauh mana kebenarannya masih belum diketahui dan pihak Tan Sri Muhyiddin juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Tetapi tidak mustahil perkara ini berlaku kerana Tan Sri Muhyiddin sendiri sudah pernah bekerja bersama DSAI sejak dari zaman pergerakan pemuda UMNO dahulu.

10 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda