Daily Archives: September 10, 2008

16 September mustahil, PAS belum ‘setuju’ penuh

PAS yakin tidak mungkin berlaku perubahan kerajaan pada Selasa ini sebagaimana digariskan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat. Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak enam bulan yang lalu.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, analisis beliau menunjukkan bahawa perubahan yang dirancang tidak akan berlaku disebabkan faktor teknikal dan politik.

“Sekarang, sepanjang Ramadan, Parlimen tidak bersidang. Dan apabila Parlimen tidak bersidang bagaimana kerajaan boleh bertukar?

“Kerana pertukaran kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang baru mesti melalui proses demokrasi. Kerajaan yang ada mesti digulingkan, barulah sebuah kerajaan baru didirikan,” kata beliau yang Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam temu bual dengan Harakah.

Temu bual itu akan diterbitkan dalam edisi esok.

Semalam, Anwar berkata, Pakatan Rakyat sedang menimbangkang kemungkinan beranjak jika terhadap halangan untuk merealisasikan sasaran 16 September.

Temu bual itu diadakan awal minggu ini.

Anwar berkata, jika bukan 16 September, pihaknya akan memilih 20 September bagi mencapai matlamat mereka ketika segala perancangan berjalan dengan lancar.

Meskipun Mustafa tidak lagi memegang jawatan terpenting dalam PAS, namun pandangan dan tanggapannya terhadap perkembangan politik sentiasa dinanti banyak pihak.

“Saya bercakap tidak mewakili PAS tetapi mewakili peribadi saya… 16 September akan berlaku. Tidak mungkin tarikh melompat dari 15 September kepada 17!

“Tetapi perubahan terancang tidak akan berlaku, berdasarkan dua faktor (politik dan teknikal),” kata Mustafa.

Jelas beliau, dalam keadaan Parlimen tidak bersidang tidak boleh diadakan undi tidak percaya dan kerajaan semasa tidak boleh digulingkan sekali pun bilangan wakil rakyat mungkin cukup untuk menjatuhkan kerajaan.

“Dari segi teknikal ia mungkin tidak berlaku. Saya tidak tahu siapa yang memilih tarikh 16 September,” katanya.

Malah, kata beliau, dari segi politik, timbul pelbagai spekulasi mengenai bilangan ahli Parlimen yang hendak melompat parti.

“Ada yang kata sudah ada angka 30, angka 40 dan beberapa angka lagi, yakni jumlah mereka yang akan meninggalkan BN dan akan menyertai Pakatan Rakyat.

“Saya tidak yakin sebab tidak mudah bagi seorang ahli Parlimen daripada parti yang memerintah hendak menyeberang kepada parti bukan kerajaan,” katanya lagi.

Tambah beliau, dalam sejarah negara ini, pernah berlaku cross over masa lalu iaitu daripada parti pembangkang kepada parti memerintah.

“Dan tidak pernah berlaku daripada parti memerintah kepada parti pembangkang. Berdasarkan proses demokrasi di Malaysia selama ini, ia tidak akan berlaku,” katanya.

Mengenai tarikh 16 September, beliau berkata, “dalam konteks 16 September tidak mungkin berlaku.”

“Tarikh lain kita tengok nanti. Apa yang berlaku dalam parti-parti komponen BN mempunyai dinamika tersendiri.

“Gerakan nak reviu kedudukan dalam BN. Berdasarkan pengamatan saya, Gerakan akan meninggalkan BN. Namun MCA tidak mungkin meninggalkan BN.

“MCA adalah pengasas Perikatan dahulu. Kalau kenyataan Setiausaha Agungnya boleh dipakai, MCA tidak akan meninggalkan BN. Mengenai soal lawatan, ia merupakan satu reaksi melampau dan dan panik yang tak tentu pasal,” katanya lagi.

Mengenai pendirian PAS, kata beliau, “sebenarnya saya tidak sempat kaji siapa orang dalam PAS yang ghairah dengan 16 September dan siapa yang tidak.’

Ini kerana, jelas beliau, pihaknya tidak pernah membincangkan secara serius mengenai hal berkenaan.

“Bagaimanapun, hari ini (Ahad lalu), Lim Kit Siang ada buat kenyataan, jika orang yang hendak lompat ini ada kepentingan peribadi, beliau tidak bersetuju. Karpal Singh juga pernah buat kenyataan serupa. Dari segi ini, nampak DAP juga tidak ghairah sekiranya lompat itu didorong kepentingan diri,” katanya.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kenapa Anwar Pilih September??

Tanggal 20 September merupakan hari bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan mendatangkan kemudaratan kepada negara.

Anwar telah ditangkap oleh pihak polis pada pukul 10 malam 20 September 1998 di rumahnya no. 8 Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tan Sri Sanusi – Dr M sokong Ku Li; Muhyiddin Regu Tg Razaleigh??

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyokong bekas lawannya Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden Umno, menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa Dr Mahathir telah memutuskan untuk menyokong ahli Parlimen Gua Musang itu yang pernah mencabarnya bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

“Saya boleh mengesahkan bahawa beliau (Dr Mahathir) menyokong Tengku Razaleigh,” kata Sanusi, yang merupakan rakan karib Dr Mahathir.

Bagaimanapun Sanusi enggan mengesahkan sama ada Dr Mahathir yang masih mempunyai pengaruh kuat dalam Umno, akan kembali ke pangkuan parti itu.

Akhbar the Star melaporkan hari ini bahawa mantan perdana menteri itu telah dipujuk supaya kembali semula ke Umno, selepas keluar parti itu tiga bulan lalu.

Dr Mahathir, yang kecewa dengan kepimpinan Abdullah, mahu perubahan dalam pucuk pimpinan Umno, yang menjadi tunggak Barisan Nasional.

The Star juga melaporkan bahawa naib presiden Umno, Tan Dri MuhyiddinYassin adalah antara mereka yang menghadiri pertemuan dengan Dr Mahathir.

Sementara itu, khabar tersebar luas bahawa Tengku Razaleigh mungkin memilin Muhyiddin sebagai regunya untuk jawatan timbalan presiden, menentang regu Abdullah-Najib dalam pemilihan Umno Disember depan.

nota: sudah lama tiada pertandingan merebut jawatan tertinggi UMNO. sudah pasti pemilihan akan datang menarik perhatian ramai pihak.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

20 September Tarikh Baru Kerajaan Anwar Ibrahim?

Ketika tinggal kurang seminggu, Pakatan Rakyat mengubah tarikh mencapai sasaran membentuk kerajaan persekutuan? Jawapannya nampak menjurus ke arah itu berdasarkan kenyataan terbaru Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Kata beliau, sasaran 16 September bagi membentuk kerajaan yang baru boleh dianjak ke satu tarikh yang lain jika wujud masalah yang boleh menghalang proses peralihan kuasa seperti yang dirancang.

“Walaupun kita sudah ada sasaran iaitu pada 16 September, tapi gambaran setakat ini hasil perbincangan bersama PAS dan DAP, tarikh itu boleh kita anjak… kalau tak jadi 16 haribulan mungkin 20 haribulan kerana tarikh itu juga ada sejarah.

“Tapi saya fikir dalam keadaan sekarang adalah susah bagi mereka (kerajaan Barisan Nasional) untuk gagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan selepas majlis solat tarawih dan hajat di rumahnya di Bukit Segambut malam tadi.

Anwar menyatakan demikian sehari selepas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan hampir tiga jam pagi kelmarin susulan pertemuan informal lebih dua jam di ibu negara Ahad lalu.

Ketika ditemui semalam, beliau menjelaskan bahawa perancangan untuk membentuk kerajaan berjalan dengan lancar.setakat ini.

Bagaimanapun malam tadi Anwar berkata, perbincangan secara terpeinci akan diadakan bersama pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP bagi meneliti sebarang risiko yang bakal terjadi.

“Esok saya perlu ikuti prosedur mahkamah. Jadi kemungkinan pada sebelah petangnya atau hari berikutnya kita akan bermesyuarat mengenai persediaan kita menghadapi 16 September,” katanya.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri akan muncul di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini esok bagi mendengar sebutan semula kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 23.

Anwar mengumumkan pelan sasaran 16 September enam bulan lalu iaitu sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Tambah beliau, jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat sudah mencukupi.

“Jumlah mereka kita sudah ada. Tapi disebabkan mereka pergi lawatan ‘menghayati Ramadan’ di Taiwan kita perlu tunggu dahulu,” katanya.

Menurut beliau lagi. ada antara Ahli Parlimen BN yang menyertai lawatan tersebut telah berjanji kepadanya untuk meneruskan matlamat mereka meninggalkan BN.

“Saya ada dapat maklumat bahawa mereka yang pergi itu tidak dibenarkan pulang sebelum 16 September bagi mengahalang sasaran kita,” katanya.

nota: sekiranya tarikh baru ini juga gagal dicapai, pihak BN tidak seharusnya memandang remeh kegagalan DSAI untuk membentuk kerajaan baru. Ini kerana DSAI mempunyai lebih dari 3 tahun masa untuk membentuk kerajaan dengan menjemput MP BN utk ‘melompat’. Tetapi DSAI jangan pula ‘overconfident’ kerana tidak mustahil 8 MP PR pula yang melompat seterusnya memberi mandat 2/3 kepada BN.

14 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kes liwat Anwar ditangguh hingga 24 September

Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga 24 September bagi membolehkan kedua-dua pihak pasukan pendakwa dan pembela menyediakan hujah masing-masing berhubung permohonan agar tuduhan ini didengar di Mahkamah Tinggi.

Apabila kes itu disebut semula pagi ini pihak pendakwaan memohon akan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tetapi ia dibantah oleh pasukan peguam Anwar.

Terdahulu Anwar di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur sebentar tadi – pukul 9.30 pagi – dengan pasukan peguamnya menolak khabar angin bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dibatalkan jaminan peribadi.

Kes tersebut disebut semula pagi ini dengan kawalan keselamatan ketat di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Ketika ditemui wartawan sebaik tiba di pekarangan mahkamah, Anwar berkata: “Saya tidak pasti apa yang akan berlaku di mahkamah hari ini. Saya berharap jaminan (peribadi) tidak ditarik balik. Sememangnya tiada asas untuk mengenakan tuduhan, jadi mengapa bercakap mengenai ikat jamin?”

Peguamnya, Sankara Nair pula berkata: “Jika pendakwa mahu menafikan jaminan ke atas Anwar, mereka perlu memohon dan kami akan respons. Begitu juga langkah memindahkan kes ke mahkamah lain (Mahkamah Tinggi).”

Ketika dihadapkan di mahkamah awal bulan lalu, Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas.

Beliau diwakili sembilan orang peguam.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Semalam Sankara ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya tidak mendengar apa-apa mengenainya tetapi jika ada permintaan daripada pendakwa pihaknya akan membantah langkah sedemikian.

“Kami tidak dengar apa-apa (setakat petang semalam). Bagaimanapun pendakwa boleh meminta (untuk membatalkan jaminan).

“Jika pihak pendakwa berbuat demikian kami akan membantah. Lagipun tiada sebab untuk berbuat demikian,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Anwar tiba di mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak mereka.

Jelas Sankara, mengikut rekod Anwar telah hadir mahkamah dengan tepat sepanjang masa dan beliau yang ke luar negara dari semasa ke semasa juga kembali tanah air termasuk yang terbaru ke Jakarta minggu lalu.

Beliau menyatakan demikian ketika tersebarnya SMS dan emel mengatakan bon jaminan peribadi akan dibatalkan apabila mahkamah bersidang hari ini.

Minggu lalu Sankara berkata, pihaknya berharap kes liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan digugurkan apabila ia disebut semula hari ini.

Kata Sankara, pihaknya telah pun menyatakan pendirian tersebut sebelum ini dan sehingga kini masih mempertahankan agar kes berkenaan digugurkan.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Berani Berubah!! – YB Dato’ Mukhriz Mahathir – Calon KP UMNO Malaysia

Krisis Kepimpinan pada hari ini menghilangkan kegemilangan yang telah dibina Kerajaan dan seolah-olah kita kini bermasalah mengurus kejayaan kita sendiri. Saya berpendapat bahawa ini berlaku kerana kita telah tinggalkan perjuangan UMNO yang sebenar, yakni perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.

Kita tidak lagi memegang teguh kepada sifat-sifat mulia yang dituntut bagi pemimpin di semua peringkat dan parti politik. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh adalah bukti bahawa rakyat tidak lagi percayakan kita. Malah rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional kini mempersoalkan kredibiliti kepimpinan UMNO. Ini telah membolehkan parti-parti membangkang mengambil kesempatan.

Saya sedar ada di kalangan kita yang merasakan diri mereka kerdil dan tidak bertenaga untuk membuat perubahan. Ada di kalangan mereka yang juga percaya bahawa UMNO akan membetulkan dirinya sendiri. Jika ini menjadi kepercayaan dan sikap ahli UMNO, maka jangan terkejut jikalau hayat UMNO berakhir.

Kita harus sanggup membuat perubahan yang mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO. Kita mesti membersihkan diri dari sebarang sifat keji dan amanah memegang tanggungjawab terhadap rakyat. Kita juga mesti sanggup berkorban dan menolak semua amalan yang membinasakan.

Kita mesti sanggup berkorban sekali lagi jika kita mahu menyelamatkan UMNO. Saya menyeru semua pihak untuk bersama saya menyelamatkan dan memperkasakan semula UMNO. Bagi tujuan itu, saya bersedia memikul tanggungjawab dan amanah ini. Saya juga yakin bahawa saya bukan berseorangan dalam perjuangan ini.

Demi meneruskan perjuangan ini, saya dengan rendah diri dan dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, menawarkan diri untuk dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

YB Dato’ Mukhriz Mahathir

6 September 2008, bersamaan 6 Ramadhan 1429

Pondok Maharizan, Titi Gajah

nota: harap YB Mukhriz boleh berblog dengan segera. kami ahli akar umbi ingin mengikuti perkembangan YB dengan lebih dekat.

Sekian. Terima kasih.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda