Daily Archives: September 26, 2008

Jeanne cadang budak cacat sebab mercun, merempit jadi atlet paralimpik – Malaysiakini

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah mencadangkan agar kanak-kanak yang cacat akibat bermain mercun dan mat rempit yang cacat kerana nahas jalan raya tetapi berbakat dalam sukan disenaraikan sebagai atlet paralimpik.

Dengan ini, katanya, negara akan mempunyai lebih ramai atlet Orang Kurang Upaya untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Semasa saya berada di Beijing bagi menyaksikan Sukan Paralimpik baru-baru ini, saya telah melihat banyak perkara yang boleh kita lakukan, dan walaupun atlet kita ada sedikit sahaja tetapi kita mampu masuk sehingga ke pusingan akhir,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri sempena program Semai Bakti Kedah di sini hari ini.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh menguji bakat kanak-kanak yang cacat akibat bermain mercun dan mat rempit yang cacat akibat kemalangan bagi mengenal pasti bidang sukan yang boleh mereka sertai.

“Kanak-kanak OKU merupakan anugerah yang istimewa walaupun mempunyai kekurangan dari segi fizikal namun saya percaya mereka mempunyai bakat tersendiri yang tidak ada pada orang biasa,” katanya.

Jeanne juga menggesa orang ramai menjadi sukarelawan bagi membantu program pemulihan OKU di negara ini. / Bernama

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAU Ditangguhkan Utk Percepat Peralihan Kuasa – Malaysiakini

Perhimpunan Agung Tahunan Umno yang sepatutnya diadakan Disember ini ditangguhkan sehingga Mac depan bagi membolehkan peralihan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan diawalkan.

Bagaimanapun persidangan perwakilan bahagian akan berlangsung sebagaimana telah dijadualkan – mulai 9 Oktober ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak sebelum 9 Oktober ini.

Ia merupakan tiga perkara utama diputuskan oleh MT Umno pada mesyuarat khas yang selesai tengah hari tadi. Mesyuarat kira-kira 90 minit itu bermula pukul 10.30 pagi tadi.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT, Abdullah telah mengadakan pertemuan ringkas dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bagi membincangkan supaya persidangan perwakilan diteruskan bagi mengelakkan masalah.
Perhimpunan Agung Tahunan kali ini menyaksikan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti – Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta kerusi MT.

Keputusan mesyuarat diumumkan oleh Abdullah pada sidang media kira-kira 10 minit.

Abdullah juga berkata, beliau akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak sebelum 9 Oktober ini.

“Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkannya sebelum mesyuarat bahagian,” katanya.

“Bertanding atau tidak, keputusan di tangan saya,” katanya lagi.

Kata beliau, keputusan itu dicapai ekoran langkah mempercepatkan pelan peralihan kuasa 2010, yang diputuskan Julai lalu.

Pelan peralihan kuasa sepatutnya berkuat kuasa Jun 2010.

Ditanya lanjut mengenai pelan peralihan kuasa 2010, Abdullah berkata: “Kalau sudah diawalkan tidak timbullah (pelan) 2010 itu.”

Ditanya sama ada pelan asal peralihan kuasa pada Jun 2010 akan dikekalkan, beliau berkata: “kalau diawalkan, tidak adalah original punya 2010 itu. Tak timbullah.”

Ketika diminta penjelasan mengenai maksud bagi melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata “ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan… peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga.”

“Ini akan diputuskan antara saya dan Najib,” katanya.

Abdullah yang mengambil alih kepimpinan Umno pada Oktober 2003 daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, peralihan kuasa yang diawalkan ini berhubung kait dengan tugas beliau selama ini.

“Semua ada hubung kait dengan kerja saya. Bila habis kerja saya habislah,” katanya.

Jelas beliau, keputusan bagi mengawalkan peralihan kuasa bukan disebabkan tekanan sebilangan anggota MT.

“Tida ada apa-apa pada hari ini (desakan)… mungkin ada dua atau tiga orang yang rasa begitu.

“Tapi kebanyakan tidak menunjukkan apa-apa sebab untuk memberi tekanan.

“Mereka juga tahu hubungan saya dengan Najib adalah satu hubungan yang baik dan apa-apa perkara pun, kedua-dua kami mempunyai persefahaman yang baik.

“Jadi tidak ada masalah yang patut timbul mengenai perkara ini,” kata Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan.

Ditanya sama ada tindakan untuk berundur lebih awal adalah yang sesuatu yang terbaik kepada parti, Abdullah menjelaskan:

“Apa yang saya tahu saya sayangkan parti saya, walaupun menghadapi masalah yang teruk, saya tidak pernah tinggalkan parti.

“Saya tidak sertai mana-mana parti lain. Saya tidak pernah berada di platform pembangkang bagi bercakap sesuatu yang bertentangan dengan Umno dan tidak ada rekod saya yang menentang Umno pada bila-bila masa pun.”

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemilihan Agung Agung UMNO Ditunda – Malaysiakini

Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada Disember ini ditunda pada Mac 2010. Walaubagaimanapun, pemilihan di peringkat Bahagian tetap akan diadakan bermula pada 9 Oktober ini.

Selamat Bersidang!!!

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Khairy disabotaj supaya ahli Umno tidak bertemunya – Malaysiakini

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut tidak terlepas daripada dirinya disabotaj oleh pihak tertentu yang menyekat anggota parti bertemu dengannya.

Ahli Parlimen Rembau itu, yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO, berkata beliau mempunyai bukti di setengah tempat pada majlis yang dihadirinya wujudnya pihak meminta anggota Umno tidak pergi ke majlis berkenaan.

“Saya ada bukti ada yang cuba menyekat anggota Umno daripada mengenali pemimpin mereka.

“Bagi saya semua anggota parti berhak untuk mengenali pemimpin mereka dan mendekati saya, jadi tidak perlu adanya sekatan begini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan pemberian wang zakat kepada anak yatim dan warga emas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO meminta tindakan menyekat anggota parti bertemu dengan pemimpin atau calon-calon dihentikan dengan segera.

Jawatan Ketua Pemuda setakat ini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mukhriz, Khairy, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin, Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor. BERNAMA (mstar)

nota: nasib yang serupa juga menimpa Pemuda Cawangan Jalan Enggang tempohari tetapi sikit berlainan cara sabotajnya. baca sini

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Habuan Seks = Sedekah?? – Malaysiakini

Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disarankan supaya bertaubat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.

Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.

Zainol Fadzi, yang juga Ketua Pemuda Umno Perak, berkata pengakuan seorang lagi anggota PKR, Fairul Azrim Ismail, 30, bahawa dia (Fairul Azrim) telah mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita China juga membuktikan amalan rasuah telah berlaku dalam sebuah kerajaan (Pakatan Rakyat Perak) yang kononnya mengamalkan prinsip kebenaran dan ketelusan.

“Malah kepada Penasihat PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengakuan tersebut merupakan satu kejayaan besar kepada beliau kerana telah berjaya mendidik anakanak buahnya menjadi berani mengakui perbuatan yang dilarang dalam Islam,” katanya.

Fairul Azrim pernah ditahan BPR berhubung dakwaan rasuah dan seks membabitkan sebuah projek pembangun di Seri Iskandar dekat sini tetapi dilepaskan pada 21 Ogos lalu.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua Exco Perak dari PKR, Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Adun Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, kini menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

PKR Perak dijadual mengadakan satu sidang akhbar berhubung kontroversi kenyataan Zul dan pengakuan Fairul Azrim itu di sini pada 10 pagi esok. – BERNAMA (mstar)

Nota: WOW !!!!……seronoknya kalau ini perumpamaan politik terbaru, sudah tentu ramai akan melakukan perkara yang sama atas ‘precedent’ yang telah ditetapkan oleh YB Zul Hassan. Apa komen MB Perak?? Janganlah matlamat menghalalkan cara. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal!!!

13 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda